The Global Brands Forum
IVANKA Trump, personaliti popular yang dikaitkan dengan kejayaan perniagaan hartanah mewah keluarganya, Trump Organization, mempunyai resipi tersendiri mengukuhkan jenama syarikatnya di peringkat global.
Bekas model yang kini Naib Presiden (Pembangunan Hartanah dan Pengambilalihan) Trump Organization, berkata pada dasarnya, proses pembinaan jenama bagi sesebuah syarikat hartanah membabitkan aspek seperti melaksanakan kerja perhubungan awam dan publisiti dan seterusnya melakukan pemasaran serta jualan.
Bagaimanapun, katanya, perkara lebih penting ialah sesebuah syarikat hartanah itu perlu membabitkan diri dalam segenap aspek proses pembinaan bangunan baru iaitu daripada reka bentuk, pembinaan, pemasaran, jualan dan menguruskan bangunan yang dibina.
"Untuk berjaya sepenuhnya dalam bidang ini, sesebuah syarikat hartanah itu perlu terbabit sepenuhnya dalam proses pembangunan projek, daripada peringkat reka bentuk hinggalah kepada operasi," katanya.
Beliau berkata demikian ketika muncul secara teknik 3D bagi menyampaikan ceramahnya pada hari terakhir Global Brand Forum Malaysia di Seri Kembangan, semalam.
Ivanka turut menjelaskan untuk mengukuhkan jenama Trump kepada kedudukan sekarang, banyak kerja diperlukan dan tiada jalan singkat untuk mencapainya.
Katanya, rahsia Trump untuk menjadi jenama pilihan adalah dengan melakukan sesuatu perkara itu dengan cemerlang dan bekerja keras.
"Hari ini, ramai orang hanya ingin mencari jalan mudah untuk kejayaan tanpa mahu bekerja keras. Saya diajar sejak kecil mengenai pentingnya kita bekerja keras untuk mencapai apa yang diimpikan dalam hidup dan berusaha mencapainya," katanya.
Kejayaan jenama Trump, kata beliau, juga terletak kepada publisiti media secara meluas yang dilakukan firma itu supaya jenamanya lebih dikenali pengguna.
"Personaliti seseorang itu juga menjadi rahsia utama kejayaan syarikatnya," katanya.
Ivanka terbabit dalam pengurusan pembangunan bangunan baru Trump di Amerika Syarikat dan bertanggungjawab membawa jenama Trump International Hotel & Tower ke pasaran dunia termasuk di Eropah dan Asia.
Beliau pernah muncul sebagai penasihat perniagaan dalam program realiti televisyen popular, The Apprentice.
http://www.bharian.com.my/bahagian ekonomi 6 disember2008
No comments:
Post a Comment